Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mampu bertahan lama.
Beliau berkata demikian dengan menyifatkan hubungan kedua parti tersebut sebagai kahwin muta’ah, yang juga merupakan hubungan bersifat sementara.
“Kita mendengar bahawa ‘perkahwinan muta’ah’ (kontrak/sementara) politik itu pasti dalam bentuk sementara.
“Kita tunggulah apabila retak menjadi belah,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di PWTC.
Zahid turut menegaskan bahawa UMNO memainkan peranan penting terutama dalam menyatukan pelbagai pertubuhan lebih tujuh dekad lalu.
“77 tahun lalu, pada tarikh yang sama, UMNO menyatukan pelbagai pertubuhan bukan untung. Jangan lupa sejarahnya,” katanya.
Tambahnya, dalam tempoh tersebut UMNO telah berdepan pelbagai fitnah yang berusaha menjatuhkan parti itu, namun beliau meminta semua ahli parti Melayu terus mempercayai bahawa UMNO masih lagi relevan.
“Semangat nasionalisme tidak ditiupkan oleh jalanan, tetapi oleh istana. Di WTC ini kita berkumpul, tetapi dalam tujuh dekad ini, kita telah bergerak dalam pelbagai gelombang.
“UMNO berdepan pelbagai fitnah sehingga kita terperangkap dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Namun UMNO masih relevan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menggesa semua sayap dalam UMNO agar bersama-sama membina semula parti itu.
“Puteri, Pemuda, Wanita atau kita yang menjadi kumpulan veteran, kita mesti bersama-sama.
“Kita menghormati yang lama tetapi kita menyayangi yang baharu.
“Saya harap generasi baharu Pemuda, Puteri, Wanita bersedia dari sekarang, jangan lagi menggunakan kaedah konvensional,” katanya.



















































Discussion about this post