Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan lagi sekadar bermimpi untuk menubuhkan kerajaan baharu tetapi kemaruk untuk mencapai tujuan tersebut.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, walaupun Hamzah mendakwa tidak pernah bermimpi atau mengigau untuk menubuhkan kerajaan, namun Ketua Pembangkang itu akan melakukan apa sahaja bagi menukar kerajaan hari ini.
“Kalau sampai berdoa, itu ‘kemaruk’ namanya. Mengenali Hamzah dia akan buat apa sahaja seperti mana dia sanggup tinggalkan Umno.
“Cuma kali ini dia disusahkan oleh ‘Akta Anti Lompat Parti’. Tetapi Hamzah pakar tebuk atap. Dia akan tebuk individu individu yang masih ada di sana dan di situ. Hamzah bijaksana dan bijaksitu,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Hamzah menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa PN sudah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan kerajaan.
Setiausaha Agung PN itu turut menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau bermimpi dan mengigau setiap minggu kerana didakwa menjaja mempunyai angka untuk membentuk kerajaan.
Malah, Hamzah mendakwa Anwar yang sebenarnya mengigau kerana takut kedudukannya akan diambil alih oleh PN.
















































Discussion about this post