Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan tidak akan tunduk dengan desakan supaya beliau meletak jawatan susulan siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
Menurutnya, beliau akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak perlu meletakkan jawatan.
“Perdana Menteri sudah menjawab soalan itu. Biarlah Perdana Menteri putuskannya, ” katanya seperti dipetik New Straits Times.
Sivakumar mengulas mengenai gesaan berulang kali yang memintanya bercuti atau berundur sepanjang siasatan SPRM sedang dijalankan.
Pada 17 April lalu, Anwar berkata, tidak ada keperluan untuk Sivakumar bercuti kerana dia hanya dipanggil untuk memberi kenyataan kepada SPRM.
Tambah Anwar, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan khusus kerana Sivakumar hanya dalam proses siasatan dan bukan didakwa di mahkamah.
Sebelum ini, Sivakumar dikatakan disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu dipanggil membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya.

















































Discussion about this post