Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warga Malaysia dengan selamat ke Port Sudan, semalam.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesemua mereka tiba pada jam 2.07 petang waktu tempatan (8.07 malam waktu Malaysia), semalam.
Beliau berkata, kumpulan terbabit melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer ke Port Sudan yang mengambil masa selama 30 jam.
Menurutnya, pasukan khas juga berjaya mengeluarkan seramai 26 warganegara asing membabitkan rakyat Singapura (14), Kemboja (6), Amerika Syarikat (2) dan masing-masing satu Filipina, Thailand, Palestin dan Sudan.
Zambry berkata, terdapat dua rakyat Malaysia tidak terlibat dalam proses evakuasi tersebut kerana berkhidmat dengan United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei.
Katanya, proses evakuasi kedua-dua mereka akan dilakukan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang ini keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen.
“Iaitu sama ada melalui laluan udara (sewaan khas pesawat) atau melalui laluan laut (kapal laut).
“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain dalam konvoi Malaysia itu dimaklumkan sihat dan selamat.
“Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan dengan segera dan seterusnya dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza.
Jumaat lalu, dua rakyat Malaysia yang berada di lokasi bergolak di negara itu, dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat dan operasi dijalankan Kedutaan Malaysia di Sudan yang disifatkan sebagai antara yang paling mencemaskan.
Gencatan senjata 72 jam di Sudan gagal dipatuhi apabila pertempuran kembali meletus antara dua pihak yang bertelagah dengan hospital terus menjadi sasaran serangan dalam konflik itu.
















































Discussion about this post