Peguam Datuk Seri Najib Razak akan menghantar penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan dalam permohonan petisyen pengampunannya.
Abdul Rahman pada 31 Mac lalu, membenarkan permohonan Najib supaya dibenarkan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, bagaimanapun empat lagi hakim menolak permohonan itu.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya menyatakan dalam petisyen pengampunan bahawa Najib tidak diberi perbicaraan yang adil, rayuan akhirnya langsung tidak didengar panel lima hakim dan panel hanya mendengar hujahan pendakwaan pada 23 Ogos tahun lalu.
Peguam itu berkata, apa yang dinyatakan dalam permohonan itu sama seperti apa Abdul Rahman nyatakan dalam penghakiman menentangnya, oleh itu pihaknya akan menghantar penghakiman tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dibaca dan juga penghakiman majoriti bagi perbandingan.
“Hakim Abdul Rahman bersetuju dengan kedudukan pembelaan, oleh itu Yang di-Pertuan Agong harus digalakkan untuk melihat bahawa terdapat juga aspek ini untuk dipertimbangkan dalam permohonan pengampunan itu,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini,
Katanya, penghakiman itu sudah dimasukkan dalam permohonan pengampunan dan ia akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong minggu ini.
Dalam penghakiman menentangnya Jumaat lalu, Abdul Rahman berkata, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib gagal memberikan keputusan yang saksama kerana beliau dinafikan hak untuk mendapat perbicarakan yang adil.
Katanya, perintah sewajarnya yang diberikan adalah Najib dilepas dan dibebaskan daripada semua kesalahan yang dikenakan ke atasnya.
Najib memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (PP) pada 2 September 2022, susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

















































Discussion about this post