Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar yang dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA Corporation (MARA Corp) boleh menguruskan berkenaan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada kompromikan berkenaan falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM, termasuk kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara.
“Saya percaya, wujud permintaan oleh ibu bapa golongan ini yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM bahkan sanggup menanggung kosnya walaupun mereka berkemampuan menghantar ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.
“Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.
“Justeru saya minta MARA dan MARA Corp untuk memperhalusi cadangan ini secara holisitk bagi memenuhi segmen Masyarakat seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata memandang serius dakwaan bahawa MRSM kini lebih mengutamakan golongan kaya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, dalam taklimat khas daripada MARA Corp, beliau berkongsi pandangan mengenai keperluan badan tersebut sentiasa mencari peluang pelaburan dan perniagaan yang memberikan pulangan kepada MARA.
Katanya, dalam masa sama beliau turut menitikberatkan soal tadbir urus yang tinggi serta ‘barokah’ di dalam melaksanakan mandat MARA.

















































Discussion about this post