Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas tuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan ketujuhnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti.
Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.
Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.
Jumaat lalu, Muhyiddin berdepan enam pertuduhan membabitkan salah gunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.
Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin warga tempatan serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai.

















































Discussion about this post