PASANGAN Noh Salleh dan isterinya, Mizz Nina mengesahkan sudah berpisah menerusi laman Instagram masing-masing selepas 11 tahun hidup bersama.
Menurut kedua-dua hantaran tersebut, keputusan dibuat bersama namun, tidak berkongsi tarikh perceraian.
“Saya dan Nina ingin berkongsi pengumuman penting.
“Selepas berfikir dan membuat pertimbangan dengan teliti, kami bersetuju untuk berpisah dan meneruskan hidup mengikut haluan masing-masing.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami meluangkan masa bersama selama 11 tahun yang cukup indah, penuh pasang surut dan pengembaraan,” katanya.
Pun begitu, Noh tidak mahu peminat bersedih kerana mereka tetap berkawan baik.
Dalam masa sama, Noh memohon peminat menghormati privasi mereka.
“Jangan risau, kami tetap berkawan dan mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.
“Kita hanya boleh merancang, tetapi perancangan Allah lebih baik. Banyakkan berdoa untuk kami terutama dalam tempoh edah ini.
“Kami menghargai sekiranya semua orang menghormati privasi kami.
“Memetik surah al-Hujurat ayat 12, jangan membuat spekulasi atau menyebarkan andaian palsu mengenai kami bagi mengelakkan fitnah.
“Doa anda kami perlukan,” katanya.
Noh turut berterima kasih kepada orang ramai yang banyak memberikan sokongan kepada mereka selama ini.
Terdahulu, Noh dan Mizz Nina dikatakan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, semalam.
Memetik laporan akhbar, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 14 Jun lalu.
Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat, Baby Musa pada Mac lalu.


















































Discussion about this post